PROFIL JABATAN
PLANMalaysia Selangor ditubuhkan sebagai Pejabat Perancang Bandar dan Kampung pada tahun 1958. Ianya adalah sebahagian daripada Pejabat Perancang Bandar dan Kampung Negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka. Pejabat Perancang Bandar dan Kampung Negeri Selangor diwujudkan pada 1 September 1960. Pegawai Perancang Bandar dan Kampung Negeri Selangor yang pertama ialah En. W. Fairbank yang juga merupakan Pegawai Perancang Bandar bagi Jabatan Perancang Bandar Negeri Sembilan dan Melaka.
Pada tahun 1970, Pejabat Perancang Bandar dan Kampung Negeri Selangor yang terletak di Damansara telah berpindah ke Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di Jalan Raja, Kuala Lumpur. Bagi mengatasi masalah keluasan ruang lantai yang terhad dan banjir yang melanda Kuala Lumpur pada tahun 1971, pejabat ini dipindahkan ke Jalan Spooner , Kuala Lumpur pada tahun 1975.
Pada Mei 1978, Pejabat Perancang Bandar dan Kampung Negeri Selangor telah dipindahkan ke Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor ( PKNS ) di Shah Alam, Selangor. Jumlah kakitangan Jabatan pada ketika itu adalah seramai 54 orang. Pada bulan Disember 1982, jabatan ini telah berpindah ke Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Pada tahun 1986, nama Pejabat Perancang Bandar Dan Kampung Negeri Selangor telah ditukar dan dikenali sebagai Jabatan Perancang Bandar Dan Desa Negeri Selangor.
Pada bulan April 2002, Jabatan Perancang Bandar Dan Desa Negeri Selangor berpindah semula dan mula beroperasi di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shahdan kekal sehingga sekarang. Negeri Selangor telah diisytiharkan sebagai sebuah Negeri Maju pada 27hb. Ogos 2005. Sebagai sebuah negeri maju, Negeri Selangor bermatlamat untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk yang tinggi, menguruskan pembangunan fizikal yang sempurna, memperkasakan kualiti desa dan menggalakkan ‘participatory planning’, melaksanakan sistem penyampaian yang berkesan dan menambahkan sumber hasil negeri.
Selaras dengan matlamat tersebut, Jabatan Perancangan Bandar Dan Desa Negeri Selangor yang merupakan peneraju utama pembangunan di negeri Selangor, penuh komited untuk mewujudkan perkhidmatan perancangan bandar yang bertaraf dunia. Oleh yang demikian, beberapa pendekatan perlu dilaksanakan iaitu:
- Penyediaan rancangan pemajuan yang berteraskan pembangunan mampan;
- Pengawalan perancangan yang efisyen dan dapat mewujudkan persekitaran yang berkualiti;
- Pelaksanaan dan penguatkuasaan perundangan perancangan bandar dan desa yang berkesan;
- Perancangan dan membuat keputusan berasaskan maklumat lengkap dan berteraskan penyertaan pihak-pihak yang berkepentingan.



