- Laman Utama
- Perkhidmatan
- Perundangan
- Akta 172
AKTA 172
PERUNDANGAN-AKTA
AKTA PERANCANGAN BANDAR & DESA 1976 (AKTA 172)
Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] diperbuat menurut Fasal (4) Perkara 76 Perlembagaan Persekutuan. Ianya hanya berkuat kuasa di negeri-negeri Semenanjung Malaysia. Walau bagaimanapun pemakaian bagi negeri-negeri hanya boleh dibuat pada suatu tarikh yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Negeri yang berkenaan dengan persetujuan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Bagi negeri-negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah menggunakan undang-undang perancangannya yang tersendiri. Pada asalnya Akta 172 mengandungi 9 Bahagian dengan 59 Seksyen dan kemudiannya telah dipinda sebanyak 5 kali di antaratahun 1993 hingga tahun 2017.
Semakan semula Pindaan Akta 172 telah dibuat sebanyak lima (5) kali bagi menambahbaik dan memperkukuhkan fungsi perancangan mengikut keperluan pembangunan.
AKTA PERANCANGAN BANDAR & DESA (PINDAAN) 1993 (AKTA A866)
Pertama kali diperkenalkan Akta 172 mengandungi 9 bahagian dan 59 seksyen. Akta ini telah dipinda pada tahun 1993 melalui Akta Perancangan Bandar dan Desa (Pindaan) 1993 (Akta A866) untuk memasukkan peruntukan berkaitan dengan aktiviti pembentungan supaya selaras dengan Akta Perkhidmatan Pembentungan 1993 (Akta 508) yang diperkenalkan pada tahun yang sama.
AKTA PERANCANGAN BANDAR & DESA (PINDAAN) 1995 (AKTA A933)
Pada tahun 1995, Akta 172 telah melalui pindaan yang substantif iaitu Akta Perancangan Bandar dan Desa (Pindaan) 1996 (Akta A933). Pindaan ini dibuat sebagai sebahagian usaha untuk menangani dan memperketatkan undang-undang yang berkaitan dengan alam sekitar. Undang-undang ini didapati masih lemah berikutan kejadian tanah runtuh dan kejadian seumpama yang terhasil daripada aktiviti pembangunan yang tidak memberi keutamaan kepada kepentingan memelihara alam persekitaran dari segi fizikal.
AKTA PERANCANGAN BANDAR & DESA (PINDAAN) 2001 (AKTA A1129)
Pada tahun 2001, Akta 172 ini sekali lagi dipinda melalui Akta Perancangan Bandar dan Desa (Pindaan) 2001 (Akta A1129). Pindaan kali ini dibuat sebagai usaha untuk menangani kegawatan ekonomi yang melanda negara sekitar 1997 yang dikaitkan dengan sektor hartanah. Ini merupakan langkah untuk mendisiplinkan semua pihak yang terlibat dalam sektor industri hartanah dengan menentukan semua keputusan yang berkaitan dengan aktiviti pembangunan fizikal adlah berasaskan kepada keperluan pasaran sebenar.
Pindaan kali ini juga dibuat sebagai suatu usaha untuk mewujudkan peranan Kerajaan Persekutuan dalam hal ehwal perancangan bandar dan desa selaras dengan semangat tanggungjawab bersama yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan bagi setiap negeri. Bagi mempastikan peranan ini dijalankan dalam Akta 172 itu maka Perkara 74(1) dan Perkara 80 Perlembagaan Persekutuan telah dimasukkan sebagai kuasa pemboleh.
AKTA PERANCANG BANDAR 1995 (AKTA 538)
Akta Perancang Bandar 1995 (Akta 538), merupakan suatu akta mengenai pendaftaran Perancang Bandar yang bertujuan untuk mengawal selia profesion Perancang Bandar dan mengukuhkan peranan profesion ini melalui perundangan bagi memastikan amalan perancangan bandar yang dilaksanakan adalah berkualiti.






