jata Agensi di bawah
Kerajaan Negeri Selangor

email facebook twitter youtube rss

Jenis Font: Arial | PT Sans | Century
A A A A
A- A A+

Perutusan Pengarah Tahun 2016

 Pengarah-JPBD-Selangor

TUAN HJ. MUHAMAD RIDZUAN BIN ARSHAD

PENGARAH
JABATAN PERANCANGAN BANDAR DAN DESA NEGERI SELANGOR

 

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Segala puji-pujian kepada Allah S.W.T Tuhan semesta alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar baginda Nabi Muhammad S.A.W. Alhamdulillah, bersama-sama kita mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia dan Izin-Nya kita masih dapat meneruskan kehidupan ini seterusnya berpeluang untuk terus melaksanakan amanah dan tanggungjawab dalam mengharungi tahun baru 2016. Segala pengalaman dan pelaksanaan amanah sepanjang 2014 perlu dijadikan iktibar dan penjana nilai tambah yang berguna untuk memastikan kesinambungan fungsi JPBD sebagai peneraju bidang perancangan Bandar di negeri Selangor tercinta ini.

Selaras dengan visi dan misi jabatan iaitu peneraju dalam aspek perancangan bandar serta untuk mewujudkan persekitaran kehidupan yang berkualiti, sejahtera dan mampan menjelang 2020, jabatan sentiasa berusaha untuk meningkatkan mutu perkhidmatan melalui sistem penyampaian yang baik dan berkesan. Aspek integriti terus menjadi tunjang dalam setiap tindakan dan berusaha untuk bertindak secara pantas dan proaktif dalam menterjemahkan setiap kehendak pelanggan. Berfikiran secara kreatif dan inovatif sentiasa digalakkan dalam usaha memupuk budaya berprestasi tinggi dan kecemerlangan.

JPBD Negeri Selangor  terus memainkan peranan penting sebagai penasihat kepada Kerajaan Negeri berkaitan perancangan dan pembangunan melalui pengurusetiaan Jawatankuasa Perancang Negeri yang telah diadakan sebanyak 5 kali. Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pembangunan Kawasan Sensitif Alam Sekitar telah dilaksanakan sebanyak 9 kali yang mana jawatankuasa ini telah menimbang dan membuat perakuan semua permohonan yang melibatkan kawasan berkecerunan kelas III dan IV sebelum kebenaran merancang dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Tempatan. Jawatankuasa Teknikal Perancangan Negeri Selangor telah dilaksanakan sebanyak 5 kali selain membincangkan projek-projek di bawah seliaan dan kawalselia JKR, skop rundingan di bawah 20A diperluas kepada projek-projek infrastruktur utama seperti lebuhraya, LRT, MRT, talian rentis TNB dan lain-lain projek berimpak tinggi.

Dari segi penyediaan Rancangan-rancangan Pemajuan, JPBD Negeri Selangor di dalam peringkat menyediakan draf Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035. Taklimat berperingkat selama 3 hari ke atas Laporan Tinjauan RSN 2035 telah disampaikan di mana melibatkan semua peringkat termasuklah wakil rakyat, NGOs, Ahli Majlis dan jabatan teknikal. JPBD Selangor juga menyelaras Penyediaan Rancangan Tempatan Majlis Daerah Kuala Selangor dan RT Majlis Daerah Sabak bernam

Fokus perancangan di Negeri Selangor perlu mengambilkira kedudukan Selangor di dalam Lembah Klang dan Konurbasi Kuala Lumpur yang rancak dari segi pembangunan ekonomi dan fizikal. Limpahan pembangunan Greater KL memerlukan peranan JPBD Negeri Selangor yang agresif untuk merancang pembangunan fizikal sebagai pelengkap kepada pembangunan ekonomi dan sosial. Seterusnya, RSN Selangor 2035 juga telah mensasarkan 9 juta penduduk yang  memerlukan penyediaan perumahan, infrastruktur dan kemudahan  masyarakat yang menyokong kepada sasaran ini.

Jabatan juga telah dipertanggungjawabkan menjalankan kajian perancangan projek khas. Kajian-kajian yang telah siap dijalankan seperti ‘Discharge Point’ & Punca-punca pencemaran Sungai Klang Bagi Fasa 1,2 dan 3(Projek Pemuliharaan dan Pembangunan Sungai Klang Kajian) Pengenalpastian Kawasan-kawasan Brownfield di Negeri Selangor; Kajian Pengangkutan Awam Selangor; Kajian Pengenalpastian dan Kesesuaian Setinggan di Kawasan Bagan Negeri Selangor; Kajian Saintifik Permatang Kuartza Genting Klang sebagai Tapak Warisan Kebangsaan dan Tapak Warisan Dunia ; Kajian Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) di Negeri Selangor; dan Kajian Pembangunan Kawasan Batu Caves dan sekitar serta Kajian Pembangunan Kampung Baru di kawasan bagan.

Sepanjang tahun 2014 ini, JPBD Selangor telah menempa beberapa kejayaan yang boleh dibanggakan. Pencapaian 4 Bintang bagi Audit Index Accountability buat kali kedua di mana jabatan merupakan di antara 16 jabatan yang diiktiraf. Pencapaian Laman Web JPBD bertaraf 5 Bintang. Anugerah Cemerlang Penarafan 5 bintang Portal JPBD Negeri Selangor oleh pihak MAMPU dengan kedudukan 22 daripada 1053 laman web agensi atau Jabatan di seluruh Negara. Jabatan telah mengekalkan pensijilan MS ISO berdasarkan kepada Audit Pemantauan Sistem Pengurusan Kualiti pada 16 dan 17 Oktober 2014 tanpa sebarang Laporan Ketakakuran (NCR) yang direkodkan.
JPBD menyertai sesi pembentangan bagi Anugerah Geospatial Kebangsaan 2014 dan disenarai pendek dalam 5 jabatan terbaik bersama-sama dengan JUPEM, Petronas Carigali, Kementerian Pembangunan Wilayah, dan Telekom di mana Telekom Malaysia Berhad telah memenangi tempat pertama. Penganugerahan inovasi di pelbagai peringkat  oleh Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Kategori Pengurusan. Pencapaian jabatan yang mendapat pengiktirafan dalam Audit Dewan Bahasa dan Pustaka bagi tahun 2014 peringkat Negeri Selangor di mana tahap penggunaan bahasa di tahap 5 bintang dan mutu bahasa di tahap 4 bintang.  Pencapaian pelantikan dan pentauliahan 20 orang Ahli JK AKRAB JPBD Negeri Selangor di Hotel Royal Bintang oleh Ketua Pengarah JPA. Jabatan telah menerima Penganugerahan inovasi di pelbagai peringkat  oleh Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Kategori Pengurusan:

a)    Peringkat Kebangsaan: Menerima Anugerah Ketua Pengarah MAMPU
b)    Peringkat KPKT: Menerima Anugerah Menteri
c)    Peringkat JPBD Sem.Malaysia: Tempat Pertama
d)    Peringkat Negeri Selangor: Tempat Kedua

Bagi memantapkan kualiti perkhidmatan kearah sebagai “Centre of Reference” untuk penyelarasan perancangan dan maklumat perancangan geospatial peringkat negeri, Jabatan akan meneruskan dan memantapkan usaha untuk menjadi peneraju utama di dalam aspek perancangan spatial gunatanah melalui sistem sediada Sistem Maklumat Perancangan Selangor (SISMAPS) berasaskan web. Bagi tujuan ini juga, Jabatan telah mendapat kelulusan kerajaan negeri untuk pembelian Unmanned Aircraft System (UAS) dengan kos RM279,499 termasuk peralatan 2 unit UAV, peralatan perkomputeran (high-end), data cerapan, koordinasi geo-sistem dan 5 projek penerbangan secara usahasama pembekal. Perolehan ini membolehkan JPBD mempunyai maklumat gunatanah semasa yang terkini yang boleh diguna bersama agensi lain. JPBD Negeri Selangor sebagai Pusat Maklumat Gunatanah Utama Selangor akan membantu dalam kajian atau kerja-kerja semasa seperti kajian pengangkutan awam, pembangunan berorientasikan TOD, pembangunan kawasan tanah gambut, pembangunan kawasan bagan dan lain-lain. Ini kerana maklumat yang tersimpan di jabatan melalui SISMAPS adalah maklumat zoning RT sahaja.

Di dalam memantapkan pengurusan organisasi, pendekatan IQ, EQ dan SQ akan terus diamal dan diserapkan. Pendekatan ini adalah lebih kepada mendidik dan memberi nasihat dengan pendekatan sistem MLM iaitu Multi Level Management dalam mengurus dan melaksanakan tugas. Jawatankuasa AKRAB peringkat jabatan turut memainkan peranan dalam membantu melaksanakan sistem MLM bagi aktiviti harian jabatan.

Melalui penerbitan ini, catatan kejayaan dan kecemerlangan akan memberi lebih informasi dan maklumat tambahan untuk dijadikan sumber rujukan bagi program-program tahunan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor bagi tahun 2014. Akhir kata, saya merakamkan ucapan terima kasih dan syabas kepada seluruh warga Jabatan yang telah memberikan komitmen yang tinggi bagi mencapai kecemerlangan sehingga ke peringkat ini. Saya juga menyeru kepada semua warga JPBD Selangor agar kita sama-sama berusaha bersungguh-sungguh untuk terus mempertingkatkan produktiviti Jabatan bagi memastikan kesemua program Jabatan seperti yang telah dirangkakan pada awal tahun terlaksana. Diharapkan usaha-usaha murni ini dapat diteruskan untuk kejayaan di masa akan datang dan memberi impak yang tinggi.

TUAN HJ. MUHAMAD RIDZUAN BIN ARSHAD
Pengarah,
Jabatan Perancangan Bandar dan Desa
Negeri Selangor

CetakEmel