jata Agensi di bawah
Kerajaan Negeri Selangor

email facebook twitter youtube rss

Jenis Font: Arial | PT Sans | Century
A A A A
A- A A+

Terminal Bas Klang Sentral Tetap Beroperasi

“Tetapi isu yang terpenting yang kita kenalpasti ialah isu bas tempatan di mana terdapat lima operator bas. Mereka bersetuju untuk duduk (berbincang) bersama-sama Majlis Perbandaran Klang (MPK) bagi mencari jalan bagaimana operasi perjalanan bas domestik yang terbaik dapat dijalankan termasuk operasi di stesen bas lama,” katanya dalam sidang media tengah hari ini selepas mengadakan pertemuan dengan wakil operator teksi, bas serta kumpulan peniaga kecil yang sebelum ini menjalankan operasi di stesen bas lama di bandar Klang.

Abdul Khalid berkata stesen bas sebelum ini tetap beroperasi sebagai tempat mengambil dan menurunkan penumpang di kawasan bandar itu.

Perjumpaan yang berlangsung pagi tadi itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Pinang, Teng Chang Khim dan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago.

Ahli Parlimen Kapar, S.Manikavasagam yang sebelum ini menyuarakan bantahan pemindahan stesen bas lama ke terminal baru itu tidak dapat hadir kerana berada di luar negara.

Abdul Khalid berkata mesyuarat itu turut mendengar rintihan daripada peniaga yang sebelum ini beroperasi di stesen bas lama berkenaan.

“MPK bersetuju untuk berjumpa dengan mereka bagi mencari jalan bagaimana memperbaiki lagi hasil pendapatan mereka yang kekurangan pelanggan.

“Kita cadangkan supaya MPK mengurangkan sewa premis mereka kepada peniaga ini sehingga operasi mereka bertambah baik,” katanya memberitahu isu-isu yang dibangkitkan semua pihak sebelum ini sudah dibincangkan secara terbuka dalam mesyuarat itu.

Dalam pada itu, Abdul Khalid berkata butiran perjanjian konsesi pembinaan terminal yang dimeterai pada 2006 itu akan dipamerkan di MPK kepada orang ramai.

“Kita juga membenarkan Ahli Parlimen dan Adun untuk mendapatkan salinan (perjanjian) tersebut,” ujarnya.

Tambahnya, beliau, ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri dan ahli-ahli majlis MPK akan memantau isu berkenaan.

Beliau berharap isu-isu mengenai perjalanan operasi bas domestik itu dapat diselesaikan sebelum akhir Februari depan.

Katanya, ini kerana operasi di terminal yang dibuka pada 27 Disember lalu itu seharusnya dapat memberi manfaat dan keselesaan kepada orang ramai yang menggunakan pengangkutan awam.

“Kita turut diberi jaminan oleh operator teksi, bas dan peniaga yang mereka akan bekerjasama dalam memastikan semuanya memperoleh manfaat (hasil daripada pemindahan ini),” katanya. – NOOR ALLIA KASSIM

Cetak Emel