jata Agensi di bawah
Kerajaan Negeri Selangor

email facebook twitter youtube rss

Jenis Font: Arial | PT Sans | Century
A A A A
A- A A+

Terowong pejalan kaki bahaya

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa terowong pejalan kaki mendapati ia kurang digunakan, sebaliknya orang ramai dilihat lebih cenderung mengambil risiko melintas jalan tanpa menggunakan terowong tersebut.
 
Tinjauan di terowong berhampiran Masjid Negara yang menghubungkannya dengan Bangunan Dayabumi, mendapati ia seakan-akan tidak digunakan langsung oleh pengguna.
 
Pemerhatian selama empat jam di terowong berkenaan mendapati hanya empat orang pengguna sahaja dilihat menggunakan terowong tersebut.
 
Itupun terdiri daripada warga asing yang mungkin tidak tahu tentang kisah ngeri yang pernah berlaku di situ satu masa dahulu.
 
Beberapa tahun yang lalu, pernah berlaku satu kejadian ngeri di mana seorang pelajar perempuan telah dirogol dan dibunuh di terowong itu.
 
Kejadian tersebut telah lama berlaku tetapi adakah ia masih segar di ingatan pengguna sehingga ada di antara mereka menjadikan alasan itu untuk tidak menggunakan terowong berkenaan?
 
Selain itu, keadaan terowong yang sunyi dan suram serta berbau hancing menambahkan lagi kebimbangan pengguna, seolah-olah mereka memasuki perangkap penjenayah apabila memasuki terowong tersebut.
 
Terowong sepanjang 300 meter ini juga kelihatan seperti tidak terurus kerana kelihatan serpihan barang binaan lama bertaburan di permukaan lantainya yang tidak dibersihkan.
 
Di samping itu, pemegang tangga yang diperbuat daripada besi juga telah hilang, dipercayai dicuri oleh orang yang tidak bertanggungjawab untuk dijual.
 
Walaupun, terdapat CCTV namun penulis tidak dapat memastikan sama ada ia berfungsi ataupun tidak. Sesekali kelihatan pengguna wanita terjengok-jengok di pintu masuk terowong, namun ramai yang berpatah balik dan menggunakan laluan lain.
 
Tindakan mereka begitu pelik sehinggakan penulis terpaksa mengejar mereka untuk mendapat tahu apa yang sebenarnya bermain di fikiran mereka semasa meninjau keadaan di dalam terowong itu.
 
Pengguna yang hanya ingin dikenali sebagai Izyan, 25, memberitahu, dia berbuat demikian kerana ingin memastikan sama ada laluan tersebut selamat ataupun tidak.
 
Menurutnya, sekiranya tiada pejalan kaki lain menggunakan laluan tersebut atau kelihatan ada orang yang mencurigakan, dia tidak akan menggunakan laluan tersebut bagi mengelakkan sesuatu yang tidak diingini.
 
Tambahnya, sebelum ini, dia nyaris-nyaris diragut di terowong tersebut namun terselamat kerana beberapa kanak-kanak sekolah kebetulan melalui jalan itu menyebabkan peragut tersebut melarikan diri.
 
"Selepas kejadian itu, saya lebih berhati-hati dan sekiranya ingin menggunakan terowong tersebut saya akan memastikan keadaan di terowong tersebut selamat.
 
"Jika tidak, saya akan melintas di lampu isyarat walaupun ia agak jauh dari pejabat," jelasnya.
 
Mungkin Izyan hanya salah seorang daripada pengguna yang menjadi mangsa jenayah di terowong itu yang sempat ditemui dan ramai lagi yang tidak diketahui kisah mereka.
 
Tinjauan juga mendapati, bukan terowong pejalan kaki di Masjid Negara itu sahaja yang tidak digunakan, malah di beberapa tempat lagi seperti terowong pejalan kaki berdekatan Hospital Besar Kuala Lumpur, Dataran Merdeka serta di Flat Pekeliling juga sepi.
 
Justeru, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) harus memikirkan cara yang lebih berkesan untuk mengawasi keadaan di dalam terowong pejalan kaki itu agar kejadian jenayah tidak berulang.
 
Mungkin juga pembinaan terowong pejalan kaki sudah tidak relevan pada masa ini memandangkan masalah jenayah yang semakin meningkat.
 
Namun, satu kelebihan terowong ialah pengguna tidak perlu memanjat tangga yang tinggi seperti jejantas, cuma tahap keselamatannya tidak diyakini oleh orang ramai.
 
Adakah terowong pejalan kaki yang sedia ada di ibu negara akan dibiarkan begitu sahaja dan terpulang kepada orang ramai untuk menggunakannya atau tidak. Masa akan menentukannya.
 
Apa yang pasti, pihak berkuasa dilihat tidak lagi membina terowong pejalan kaki yang baru di ibu negara, satu bukti bahawa terowong bukan pilihan terbaik dalam memberi kemudahan melintas jalan kepada orang ramai. 

Cetak Emel