jata Agensi di bawah
Kerajaan Negeri Selangor

email facebook twitter youtube rss

Jenis Font: Arial | PT Sans | Century
A A A A
A- A A+

PEMBANGUNAN 'korban' GAYA HIDUP

BAYANGKAN situasi ini; anda ingin memancing tapi air sungai tercemar, ingin menghirup udara bersih malangnya dipenuhi asap manakala ingin berehat penuh santai, dibelenggu rasa bingit akibat deruman enjin atau hon kenderaan.

Senario itu bukan khayalan malah dilema dihadapi masyarakat seluruh dunia. Krisis pencemaran berlaku di mana-mana dan menghampiri tahap serius.

Isu pemanasan global turut dikaitkan dengan masalah pencemaran alam sekitar di seluruh dunia.

Walaupun pelbagai kempen dan program kesedaran diadakan, masyarakat termasuk golongan remaja masih alpa mengenai kesedaran alam sekitar.

Mereka tidak rasa bersalah membuang sampah atau puntung rokok di merata tempat atau mencemar sungai dengan sisa buangan.

Justeru, usaha kerajaan seperti kempen cintai sungai gagal kerana tahap kesedaran masyarakat mengecewakan.

Apakah ini bukti kegagalan institusi keluarga, sekolah atau masyarakat memupuk nilai murni?

Atau apakah pencemaran memang tidak dapat dielak berikutan dunia sedang rancak melakukan perubahan gaya hidup dan sumber yang perlu 'dikorbankan'?

Pengarah Institut Alam Sekitar dan Pembangunan Universiti Kebangsaan Malaysia (Lestari), Profesor Dr Mazlin Mokhtar, berkata kegagalan itu bukan berpunca daripada kelemahan institusi pendidikan tetapi sikap mementingkan diri.

Menurutnya, sikap itu menjadi racun dalam masyarakat dan menenggelamkan konsep kesedaran sivik yang dipupuk melalui ilmu dan pendidikan.

"Kita tidak dapat mengelak melakukan penerokaan alam tapi mewujudkan konsep kesedaran penting bagi melahirkan tradisi masyarakat prihatin.

"Malangnya, ia seolah-olah tenggelam dengan sikap mementingkan diri sendiri," katanya.

Isu alam sekitar bukanlah isu baru. Meskipun tanggungjawab menjaganya terletak pada semua pihak, sikap saling menuding menyebabkan tanggungjawab satu pihak.

Golongan muda adalah antara sasaran paling teruk dibidas kerana kebanyakan mereka kurang berminat terbabit dalam memperjuangkan kepentingan alam sekitar.

Ini menimbulkan tanda tanya, apakah ilmu mengenai kesedaran sivik tidak diajar atau berkesan pada mereka.

Mengulasnya, Dr Mazlin, berkata walaupun pandangan skeptikal masyarakat sukar diubah, tanggungjawab atau kesedaran sivik perlu ada pada setiap golongan.

Bagaimanapun, beliau mengakui, pendidikan mengenai kepentingan alam jarang ditekankan tapi tidak bersetuju pihak sekolah lepas tangan membentuk nilai murni di kalangan pelajar.

"Ini kepentingan bersama, tidak adil menyalahkan antara satu sama lain.

"Sekolah boleh menjadikan aspek kesedaran itu sebagai medium utama mencambah ilmu dan kesedaran. Di sekolah ada pelbagai subjek lain yang menekankan kepentingan nilai murni.

"Yang penting, wujudkan kesedaran kepada generasi muda untuk meneruskan agenda menjaga alam sekitar," katanya.

Beliau berharap, pendekatan ilmu mengenai kerosakan alam sekitar dapat lebih dipergiatkan lagi di sekolah menerusi pelbagai aktiviti.

"Sudah tiba masanya mereka diberi lebih pendedahan menerusi subjek khusus supaya dapat memantapkan lagi kemahiran diri dengan elemen positif.

"Memang tidak dinafikan, proses mewujudkan kesedaran ini mengambil masa panjang tetapi kita mesti tekankan melalui proses pendidikan berterusan supaya mereka menghargai alam sekitar," katanya.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, Mohd Hilmi Ramli, mengakui kebanyakan golongan muda kurang peka terhadap alam sekitar disebabkan sokongan pelbagai pihak tidak menyeluruh.

Menurutnya, dalam mengembleng usaha memupuk kesedaran sivik, bukan hanya satu pihak wajar memainkan peranan tapi keseluruhannya.

"Contohnya pelajar, mungkin di sekolah diajar mengenai aspek sivik dan nilai murni, tapi bila berada di luar, lihat golongan dewasa membuang sampah merata-rata, mereka juga terpengaruh.

"Dalam hal ini, adakah perlu memarahi golongan muda jika melakukan perkara sama?

"Ibu bapa juga boleh memainkan peranan seperti beri nasihat. Apabila golongan muda nampak contoh yang baik, mereka akan mengikutnya. Yang perlu ialah ilmu diperoleh di sekolah dapat diaplikasi dengan lebih berkesan," katanya.

Beliau meminta semua pihak memberi peluang kepada golongan muda menunjukkan semangat menghargai alam selain memberi pengiktirafan.

"Peranan golongan muda ini hanya terhad di sekolah atau menyertai sesuatu aktiviti, jadi minat atau kesedaran sedia ada tidak mampu diperluaskan.

"Ubah pendekatan dengan memberi pengiktirafan atau bawa melawat tempat yang tercemar supaya timbul kesedaran.

"Iktiraf sumbangan mereka terhadap alam sekitar biarpun kecil," katanya.

Beliau juga mengulas sikap masyarakat yang sukar mengambil iktibar sesuatu kejadian dan lebih gemar menyerahkannya kepada orang lain.

"Sikap ini sangat mengecewakan. Tindakan hanya akan diambil jika ada kejadian buruk.

"Jika begini, bagaimanakah nasib generasi depan?," katanya.

Cetak Emel